SAMBUTAN HARI TERBUKA JKR PERLIS SEMPENA HARI PROFESION TEKNIKAL NEGARA (HPTN) 2024
Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Perlis telah menganjurkan Sambutan Hari Terbuka JKR Negeri Perlis sempena Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2024 pada hari ini bertempat di perkarangan JKR Negeri Perlis.
Majlis tersebut telah disempurnakan perasmiannya oleh EXCO Kerajaan Negeri Perlis, YB Tuan Izizam Ibrahim. Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dr. Noriman bin Rojulai, bersama Ketua-ketua Jabatan serta wakil-wakil agensi.
Tema HPTN tahun ini ialah "Profesion Teknikal Peneraju Kecemerlangan Teknologi". Tema ini bertujuan mempromosikan penggunaan teknologi terkini, seperti kecerdasan buatan (AI) dalam bidang teknikal, di samping mengetengahkan inovasi teknikal yang mampu menjadi game changer bagi pelbagai industri.
Pelbagai reruai pameran turut memeriahkan sambutan ini dengan penyertaan daripada agensi kerajaan, syarikat swasta, serta institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang sama-sama menyumbang dalam menjayakan Hari Terbuka JKR Negeri Perlis.